Monday 8 December 2014

FAM Cari Rakan Penaja Baharu Liga M

Umum mengetahui bahawa ikatan penajaan Astro Media dengan Liga M berakhir pada tahun 2014. Oleh yang demikian, untuk 2015 dan musim-musim akan datang, syarikat baharu bakal diumumkan untuk menjadi rakan bisnes baharu FAM kearah menswastakan liga sepertimana kata mereka bermula 2016 dan zaman peralihannya ialah pada tahun 2015.

Setakat saat ini, belum ada pun berita ataupun pengumuman FAM tentang rakan penaja baharu menggantikan tempat Astro Media. Tetapi dikhabarkan, Liga M 2015 menarik persaingan banyak syarikat untuk mendapatkan hak penajaan liga M yang semakin berkembang maju ketika ini. Dengan sokongan dan liputan yang semakin meningkat, sudah semestinya banyak syarikat asing mahupun tempatan berlumba-lumba untuk turut sama melibatkan diri dalam arena bolasepak negara yang bolehlah dikatakan kini sebagai satu industri baharu yang menjana pendapatan lumayan.

Maka tidak hairanlah, dengar cerita syarikat terkemuka antarabangsa Zenith Media dan juga IMG Global Sports dikhabarkan sedang membida dan membuat tawaran terbaik untuk mendapatkan hak penganjuran Liga Malaysia 2015. Selain dua syarikat berkenaan, turut sama berminat membida Liga M ialah konglomerat tempatan, Telekom Malaysia (TM) dan juga Astro yang masih berminat untuk menyambung perkhidmatan mereka. Cuma kemungkinan untuk melihat Astro kembali bersama kita agak tipis setelah pihak FAM khabarnya tidak berpuas hati dengan dasar monopoli yang dilakukan oleh pihak AStro sebelum ini terutama sekali melibatkan hal ehwal hak penyiaran. Hal ini adalah kerana Astro adalah pemegang hak utama, dan dalam masa yang sama Astro juga merupakan syarikat penyiaran yang memiliki saluran sendiri, sudah tentulah timbul masalah monopoli dalam menyiarkan perlawanan siaran langsung pasukan Liga M.

Nampaknya liga domestik kita yang melalui zaman transformasi hebat dibawah ikatan Astro sebelum ini bakal mengalami perubahan yang lebih hebat jika hak penajaan selepas ini beralih kepada pemegang antarabangsa yang berpengalaman. Mungkin liga kita akan dipandang lebih tinggi, dan mungkin juga jika silap percaturan, liga kita boleh merudum kembali. Namun ia bergantung kepada kebijaksaan pihak pentadbir FAM untuk menentukan hala tuju liga kita untuk tempoh 5 tahun yang akan datang dan seterusnya.