Showing posts with label pendidikan. Show all posts
Showing posts with label pendidikan. Show all posts

Friday 10 July 2009

PPSMI - Media yang poyo....

Aku gembira dan berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana telah mengambil langkah tepat menghapuskan PPSMI demi memastikan survival bahasa kebangsaan terus berpanjangan.
terima kasih !

Tapi aku kecewa dan muak dengan sikap media arus perdana negara ini. Aku bukanlah anti-surat khabar arus perdana mahupun penyokong kuat akhbar-akhbar nyamuk pembangkang malah aku juga bukan sebahagian dari mereka yang berarak ramai-ramai ke istana negara dulu. Tapi aku muak dengan tulisan-tulisan yang tak abis-abis membodek, bila-bila masa boleh tukar pegangan bergantung pada tempat dan keadaan.

Kenapa aku kata gini? Aku rasa media ni 'poyo' sebab masa isu PPSMI tengah memuncak, dikala rakyat berdemonstrasi membantah PPSMI, disaat kerajaan tegas mempertahankan PPSMI, akhbar perdana sana sini menyiarkan artikel mengenai kepentingan PPSMI dan mengkritik mana-mana pihak yang membantah PPSMI. Sana sini bercakap satu hala sehingga banyaklah fakta-fakta baru yang timbul serta hujah demi meyakinkan yang PPSMI itu penting.

Tapi sekarang???...
Sejak kerajaan mengumumkan pemansuhan PPSMI 2 hari lepas, akhbar-akhbar yang sama juga berbicara. tapi berlainan gaya. Corak penyampaian artikel-artikel yang disiarkan sama sekali berbeza dengan apa yang tersiar selepas rakyat berdemonstrasi membantah PPSMI satu ketika dulu. sedangkan akhbar itu SAMA dan penulisnya SAMA. Kini mereka memilih untuk mengeluarkan seberapa banyak hujah yang ada untuk membuktikan yang PPSMI itu silap.
huh.....

Cikgu Sangkunang: Terima kasih Datuk Seri Najib & Tan Sri Muhyiddin !

Sunday 17 May 2009

SALAM PENDIDIK - HARI GURU

umum mengetahui bahawa 16 mei setiap tahun merupakan hari guru, namun masih ramai termasuk warga pendidik sendiri yang tidak mengetahui kenapa 16 mei dipilih sebagai hari guru. adakah ianya kerana bulan mei merupakan bulan profesyen yang seawal 1 mei kerajaan mengiktiraf golongan pekerja melalui hari buruh? ditambah lagi dengan hari jururawat dan sebagainya?
tidak..
Tarikh 16 Mei sbenarnya dipilih sebagai Hari Guru kerana pada tarikh yang sama dalam tahun yang sama 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council ) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report Of The Education Commitee ) sebagai dasar pelajaran negara kita. Dokumen tersebut dikenali sebagai Laporan Razak, telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan sepertimana yang wujud pada hari ini.
berikut merupakan objektif kenapa Hari Guru disambut;
  • Menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.
  • Menarik perhatian ibu bapa , murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru dalam masyarakat Malaysia.
  • Memupuk semangat perpaduan ikhtisas dan muhibbah di antara guru.
  • Meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat.
  • Memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar, persidangan, melanjutkan pelajaran dan sebagainya.
  • Menilai secara objektif perana guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan mengambil langkah-langkah supaya peranan itu lebih berkesan.
selamat hari guru sangkunang ucapkan kepada semua guru, bekas guru dan bakal guru di seluruh pelusuk bumi bertuah malaysia.ucapan teristimewa buat abah sangkunang yg juga seorang pendidik dan juga ibu sangkunang-walaupon bukan seorang guru tetapi tetap ku anggap guru kerana beliaulah insan bertanggungjawab dan berjasa mengajar segala-galanya semenjakku muncul di dunia ini....

Tuesday 5 May 2009

PPSMI - Hasil meja bulat ditolak

Laporan pelaksanaan PPSMI bukan penanda aras tepat: TPM

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran diarah membuat kajian semula terhadap pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains serta Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) ekoran Kabinet tidak berpuas hati dengan hasil laporan Persidangan Meja Bulat PPSMI yang dibentangkan baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Kabinet berpendapat laporan daripada beberapa persidangan meja bulat PPSMI sebelum ini bukan penanda aras yang tepat untuk menilai kewajaran pelaksanaan dasar berkenaan.

"Kita tidak boleh membuat keputusan tanpa fakta dan bukti yang kukuh untuk menyokong sesuatu dasar itu. Saya hanya akan berpuas hati apabila mendapat maklumat lengkap yang diperoleh dari semua sudut.

"Persidangan meja bulat mungkin hanya membolehkan sesetengah pihak mengemukakan pandangan peribadi. Kita memerlukan pandangan menyeluruh sebelum memutuskan sama ada dasar PPSMI perlu ditambah baik atau ditukar," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini semalam. Hadir sama ialah Pengerusi Pengelola DBP, Datuk Johan Jaafar dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz.

Laporan Persidangan Meja Bulat PPSMI sebelum ini merumuskan tujuh cadangan untuk dipertimbangkan kerajaan dalam membuat keputusan mengenai masa depan PPSMI, iaitu:

  • Meneruskan PPSMI seperti sedia ada;
  • Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda pada peringkat sekolah rendah tetapi meneruskan PPSMI di sekolah menengah;
  • Memulakan PPSMI dari Tahun Empat hingga sekolah menengah;
  • Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di sekolah rendah dan digunakan sepenuhnya di sekolah menengah;
  • Penggunaan bahasa pengantar untuk Sains dan Matematik ditentukan oleh sekolah;
  • Penggunaan bahasa Melayu atau bahasa ibunda pada Tahun Satu hingga Tiga, diikuti dwibahasa pada Tahun Empat hingga Enam; dan
  • Penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya di sekolah menengah atau memansuhkan mata pelajaran Sains pada Tahun Satu hingga Tiga tetapi mengajar Sains dalam subjek lain.
Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) bagaimanapun mahu kerajaan memansuhkan dasar itu kerana mendakwa pelaksanaan PPSMI selama enam tahun sejak 2003 gagal memanfaatkan pelajar, khususnya pelajar Melayu di luar bandar.

Selain itu, 25 kesatuan dan persatuan yang mewakili kira-kira 350,000 guru di seluruh negara juga menolak pelaksanaan PPSMI pada peringkat sekolah rendah.

Muhyiddin bagaimanapun menegaskan, sebarang keputusan berhubung pelaksanaan dasar PPSMI tidak boleh dilakukan secara terburu-buru kerana ia membabitkan masa depan pelajar.

"Saya mengalu-alukan jika ada pihak yang hendak kemukakan pandangan, hendak menyerahkan memorandum atau hendak berjumpa saya jika ia bersesuaian dengan apa yang hendak disampaikan.

"Walau apapun pandangan dan pendapat, akhirnya ia perlulah mengambil kira kepentingan bahasa kebangsaan, selain bahasa Inggeris yang menjadi bahasa penting di dunia," katanya.

Muhyiddin turut menggesa sektor swasta menyokong usaha kerajaan memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan.

"Kita akui sektor swasta menggunakan bahasa Inggeris dalam komunikasi dan urusan mereka, tetapi kerajaan berharap mereka turut menggunakan bahasa kebangsaan.

"Kerajaan serius memartabat serta memperkembangkan bahasa kebangsaan dan berharap Bulan Bahasa yang akan kita laksanakan tidak lama lagi akan mendapat sokongan sektor swasta," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan turut meneliti kembali Akta DBP, sekali gus menyokong usaha badan itu memartabatkan bahasa kebangsaan secara lebih berkesan dan menjadi titik mula untuk DBP bergerak dengan lebih aktif.

sumber : berita harian

Sunday 12 April 2009

Surat Untuk Muhyiddin Yassin

Terlebih dahulu, saya ucapkan segunung tahniah buat tan seri muhyiddin kerana dilantik sebagai timbalan perdana menteri di bawah kabinet baru kerajaan persekutuan malaysia yang indah ini.
sebukit tahniah juga buat tan seri kerana disamping jawatan no2 kerajaan sudah dipikul, tan seri telah diberi tanggungjawab besar untuk memimpin satu lagi kementerian iaitu kementerian pelajaran.
umum mengetahui bahawa, kementerian pelajaran merupakan antara kementerian paling penting dalam pentadbiran kerajaan dengan jumlah warga kerja dan pelanggan2 kementerian iaitu pelajar yang begitu besar jumlahnya, maka sudah tentulah kementerian sebesar ini perlu dipimpin oleh seorang pemimpin yang begitu tegas, adil dan memahami hasrat akar umbi.
dalam memimpin sebuah kementerian yang bertanggungjawab melahirkan generasi dan modal insan yang berkualiti untuk malaysia pada masa hadapan, adalah menjadi tanggungjawab tan seri ketika ini untuk turun ke bawah melihat permasalahan untuk wujud dalam kementerian 5 tahun kebelakangan ini yang ada sebahagiannya melibatkan isu nasional dan juga boleh mencetus isu politik. sebagai contoh, polemik PPSMI yang tika ini tidak ketemu hujung jawapannya. adalah menjadi harapan saya sebagai warga kementerian untuk melihat tan seri mengambil inisiatif dan mengkaji semula perjalanan dan keberkesanan sistem ini sesuai dengan kehendak perdana menteri yang mengimpikan satu malaysia yang mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian.duduk semeja dengan pakar-pakar pendidikan untuk merumuskan satu resolusi baru dalam mencapai penyelesaian isu ini.
seterusnya, dalam kesibukan tan seri menjalankan tugas2 timbalan perdana menteri dan juga memimpin kementerian ini yang menuntut banyak perkara untuk difikirkan, saya berharap tan seri tidak melupakan kebajikan guru sebagai agen sosialisi dalam kementerian tan seri. apa yang saya maksudkan disi adalah peranan tan seri dalam menyelesaikan permasalahan yang melanda guru-guru pada hari ini. jika kita perhatikan, dalam dunia pendidikan yang penuh mencabar ini, persekitaran guru dewasa ini sering diganggu gugat dan guru juga berhadapan dengan pelbagai masalah dan ancaman dengan masyarakat. adalah menjadi harapan saya, guru tidak dipinggirkan semata-mata untuk menjaga hati dan perasaan pihak lain seperti ibubapa. sebagai contoh, sebelum ini, ada kes yang melibatkan guru, pelajar dan ibu bapa, menteri tanpa usul periksa sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan "Guru sekarang semakin bermaharajalela pukul pelajar". tidakkah terkilan hati dan perasaan guru yang bertungkus lumus menyampaikan ilmu dan pengetahuan kepada anak didiknya? maka, besarlah harapan warga guru untuk dipikul pada bahu tan seri untuk hari ini dan masa akan datang untuk terus disayangi dan dihormati oleh golongan ini.
tan seri,
Ketika ini sistem pendidikan kita ketika ini berada di persimpangan dan sekiranya kita tidak bersungguh-sungguh mewujudkan momentum yang baru, tidak mustahil lima ke sepuluh tahun akan datang negara kita akan jauh ketinggalan ke belakang negara-negara yang sedang mengejar kita.Tindakan dan keputusan yang hendak kita ambil hari ini bukan sahaja amat kritikal untuk kemakmuran jangka panjang negara malah lebih penting daripada itu, iaitu untuk survival generasi muda masa hadapan.
namun, dibawah tanggungjawab tan seri dan dibantu oleh dua orang timbalan, saya yakin yang tan seri akan melakukan banyak lonjakan. legasi yang ditinggalkan oleh tokoh pendidikan alaf baru, Allahyarham datuk razali ismail pada kita semua tidak harus dibiarkan berlalu. apa yang telah dirangka, tetapi tidak sempat disempurnakan oleh Allahyarham harapnya dapat disambung oleh tan seri.
semoga arena pendidikan negara terus berkembang mekar dibawah pimpinan tan seri...

yang benar,
Cikgu Sangkunang

Wednesday 24 December 2008

DOWNLOAD BUKU UMUM PISMP IPGM

off topic bola sekejap. kembali ke dunia nyata....

kepada warga Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan, Institut Pendidikan Guru Malaysia, anda dijemput untuk mendownload Buku Umum PISMP IPGM yang telah dikeluarkan oleh BPG. Semoga pengedaran buku ini mampu menyelesaikan kekusutan minda dan keserabutan maximus dalam kepala otak anda akibat terlalu ditekan dan menekan kerana belajar tanpa hala tuju seperti yang sering rakan-rakan canang-canangkan.
Belajar dah nak abis tp baru dapat rangka kursus.
xpe laa, better late than never mat saleh kata.
selamat mendownlod

Friday 28 November 2008

DATUK RAZALI ISMAIL - Perginya Seorang Patriot

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Itulah yang berlaku dalam arena pendidikan hari ini. Tarikh 28 November 2008 adalah satu tarikh yang bakal diingati oleh seluruh warga pendidikan di Malaysia. Tarikh di mana kita kehilangan seorang wira yang hampir seluruh hidupnya diabadikan untuk kemajuan dunia pendidikan di Malaysia- Datuk Razali bin Ismail, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia.

Secara peribadi, sangkunang amat sedih dengan pemergian Allahyarham yang sangkunang sifatkan terlalu awal kerana arwah baru sahaja menduduki kerusi penting di kementerian dalam perjuangannya membela dan memajukan pendidikan di Malaysia. Namun, sudah jadi adat dunia setiap dari kita pasti akan kembali kepada-Nya.

Allahyarham merupakan idola sangkunang. Sesiapa yang mengenali sangakunang pasti maklum tentang hal ini. Sangkunang sudah mula mengenali Allahyarham semasa beliau menjadi Pengarah Pelajaran Terengganu lagi. Perjalanan karier pendidikannya merupakan faktor utama membuatkan sangkunang tertarik. Bagi sangkunang, beliau adalah orang yang tepat pada posisi yang tepat. Beliau adalah pemimpin kementerian yang berjiwa guru dan amat rapat dengan warga pendidik dan juga bakal pendidik.

Masih lagi sangkunang ingat, ketika baru sahaja diangkat menjadi Timbalan Menteri Pelajaran, beliau membuat lawatan ke Institut Perguruan Bahasa-bahasa Antarabangsa untuk bertemu mata dengan warga Institut Pendidikan Guru Malaysia. Dalam ucapannya, beliau menggunakan persembahan power point, satu teknik yang tidak digunakan oleh ahli politik mahupun menteri yang lain. Apabila ditanya mengapa beliau beliau berbuat demikian, Allahyarham menjawab “saya bukan menteri, saya adalah guru. Guru mesti melakukan yang terbaik untuk memberi kefahaman dalam penyampaian”...

Satu perkara yang menimbulkan kekaguman terhadap arwah ialah keupayaannya memberi ucapan berkenaan pendidikan tanpa menggunakan teks. Kali terakhir sangkunang bertemu arwah ialah pada 19 November 2008, ketika beliau merasmikan satu sidang konvokesyen J-QAF peringkat kebangsaan di Putrajaya dimana arwah berucap tanpa menggunakan teks dan sangkunang terperasan satu perkara. Apabila Allahyarham Datuk Razali Ismail memberi ucapan, semua hadirin dalam dewan khusyuk memberi perhatian dan sanak saudara yang berada di luar dewan turut khusyuk memberi perhatian kepada skrin televisyen yang menunjukkan arwah sedang memberi ucapan. Ada yang berdiri, ada yang duduk, tua muda termasuk para petugas berkerumun berdekatan skrin untuk sama-sama mengikuti ucapan arwah yang sangat bermakna. Situasi yang sama sekali berbeza apabila orang lain memberi ucapan pada sidang yang lain.

Pergimu satu kehilangan. Ya, memang kehilangan. Kami di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) amat berterima kasih dan terhutang budi diatas segala jasa dan pengorbanan Allahyarham Datuk sehingga terangkatnya taraf kami pada hari ini yang satu ketika dulu adalah Maktab Perguruan. Hasil inisiatif dan kerja keras Allahyarham Datuk sejak berada di posisi Pengarah Bahagian Pendidikan Guru (BPG) lagi, kami bakal pendidik hari ini menikmati segala kemudahan serta pengikitirafan yang bakal menyaksikan IPGM/BPG melahirkan ‘anak sulung’/guru berijazah pertama dalam 2 tahun lagi. Sayang, Datuk tidak berkesempatan untuk menyaksikan sejarah yang bekal tercipta hasil keringat Datuk itu.

Banyak lagi jasa Allahyarham semasa hayatnya dalam membina mercu anda gemilang arena pendidikan negara termasuk Projek Persiangan-Salinatan yang akan meninggalkan seribu satu kenangan serta kemajuan pendidikan untuk anak-anak di Sabah dan Sarawak. Arwah sangat serius dalam membela anak-anak yang berada di ceruk pedalaman dan berusaha menyamaratakan pendidikan sesama bandar dan luar bandar. Arwah bukan bercakap kosong. Arwah turun padang sendiri berakit, bersampan, mendaki bukit demi menjenguk anak-anak malaysia yang berada jauh di pedalaman Sabah dan Sarawak. Masih sangkunang ingat, satu lawatan arwah ke asrama sebuah sekolah di pedalaman sarawak. Arwah membuat lawatan mengejut di malam hari dan masuk ke dalam asrama yang serba daif. Satu tindakan yang mengejutkan pegawai-pegawai ialah, Allahyarham Datuk Razali mengucup dahi salah seorang kanak-kanak yang tidur tidak berbaju diatas lantai dan Allahyarham Datuk menarik selimut untuk menyelimuti budak tersebut. Ini mengambarkan Arwah amat dekat dan komited terhadap pendidikan negara.

Dua tiga kucing berlari,
Mana nak sama si kucing belang,
15 menteri boleh kucari-ganti,
Tapi tak akan sama dengan Datuk Razali seorang....

Semoga Allahyarham Datuk Razali bin Ismail ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan bertakwa disisi Allah.

Semoga rohmu tenang disana dan pergi sebagai seorang mujahid. Akan kami susuli perjuanganmu dengan ikhtiar ke arah masa depan pendidikan Malaysia yang lebih gemilang di masa hadapan. InsyaAllah........