Kurang beberapa jam sahaja lagi, tirai 2009 secara rasminya akan ditutup. Menutup cerita suka duka sepanjang 365 kali naik turun matahari rutinnya. Melonjakkan lagi angka baru dalam kehidupan manusia di muka bumi. Mengubah 9 kepada 10 dalam paparan tarikh sekaligus menyimpan segala yang berlaku pada tahun ini sebagai sejarah dan kenangan.
Mengimbas memori 2009, banyak peristiwa besar yang berlaku. Yang besarnya sudah tentulah perubahan tampuk kepimpinan negara daripada Tun Abdullah Badawi kepada Datuk Seri Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia ke 6. Mengambil alih pemerintahan negara dalam persekitaran politik dalam negara yang kurang stabil selepas pilihanraya umum ke 12 merupakan satu cabaran getir kepada Datuk Seri Najib Razak dan safnya dalam menentukan hala tuju politik rakyat Malaysia 2 3 tahun akan datang.
Bercerita mengenai bolasepak, topik utama dalam kalendar 2009 sudah tentunya kejayaan Malaysia menamatkan kemarau 20 tahun penantian pingat emas bolasepak Sukan Sea.Menundukkan ego Vietnam pada perlawanan akhir Sukan Sea lalu tentunya kejayaan terbesar buat barisan pimpinan Aidil Zafuan Radzak dalam mencorakkan perjalanan getir bolasepak negara yang seringkali buntu dalam pencarian sinar di hujung kelam. Katalah apa sahaja, gol nasib atau apa saja, semestinya keputusan yang dicari bukannya cara mendapatkan keputusan itu.
Walaubagaimanapun, kejayaan menggondol pingat emas Sukan Sea itu sebenarnya hanyalah satu permulaan kepada suatu perjalanan yang panjang. Tidak harus berpuas hati dengan keadaan semasa, skuad bolasepak kebangsaan mesti mengekalkan rekod dan mengulangi pencapaian ini setidak-tidaknya untuk 2 3 temasya akan datang serta mengungguli saingan Piala AFF/Suzuki. Ketika itu kita sudah berjaya menyaingi kekuatan musuh setempat seperti Thailand dan Singapura untuk menjadi jaguh Asia Tenggara. Selepas mengungguli saingan di pentas Asia Tenggara, Malaysia bolehlah berkira-kira untuk menembusi pentas Asia yang tersangatlah luas serta getir gelombangnya ini seterusnya berjalan dan berlari bersama-sama kuasa Asia seperti Jepun dan Korea. Apabila kita berada di landasan ini, kita sebenarnya mampu untuk ke Piala Dunia.
Untuk mencapai matlamat ini, FAM selaku pemerintah bolasepak di negara ini seharusnya mempunyai pelan jangka panjang dalam merencana kemajuan sukan bolasepak negara. Cuma yang menjadi permasalahannya, pemerintah bolasepak di negara bertuah ini tiada rangka perancangan seolah-olah pasrah dengan keadaan semasa dan menganggap “buatlah apa pun, kita tak akan kemana”..
Layakkah pemikiran seperti ini wujud dalam kepala pemerintah-pemerintah organisasi sukan nombor satu rakyat negara ini? Setidak-tidaknya mereka ada rancangan, ada impian. Dulu pernah ada sasaran Malaysia di Piala Dunia 2018. Sekarang? Masih wujud lagikah misi itu? Kalau wujud, apa yang dilakukan untuk mencapai misi tersebut?
Tepuk tangan tanya mereka....
No comments:
Post a Comment