Thursday 28 May 2009

Kekejaman komunis

BANGI 27 Mei - "Ayah dan bapa saudara saya diikat dengan tali antara satu sama lain, mereka diseksa, seluruh tubuh ditetak dan ditakik-takik sebelum leher kedua-duanya disembelih.

"Semasa ditemui, mayat kedua-duanya hanya tinggal rangka dan tulang, bercampur antara satu sama lain tanpa kepala, amat jelas kesan takikan bertubi-tubi seperti sebatang pokok kayu yang ditakik-takik bagi dikeluarkan getahnya."

Demikian cerita Profesor Dr. Amat Juhari Moain, bekas Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau berkata, jenazah bapanya, Moain Saridin @ Shahidin dan Hassan Akasah yang dibunuh dengan penuh kejam tanpa perikemanusiaan oleh komunis itu kemudian dikebumikan dalam satu liang lahad di Kampung Sungai Dulang Darat, Rengit, Batu Pahat Johor.

Mengimbas kejadian menyayat hati yang berlaku pada akhir Jun 1945 tetapi masih lagi segar di ingatan seolah-olah baru berlaku semalam, Amat Juhari, 69, berkata, semasa dia dan bapanya mandi di tepi Sungai Dulang pada waktu petang, mereka didatangi beberapa penduduk yang meminta bantuan.

Menurut beliau, arwah ayahnya, seorang ketua kampung, dimaklumkan mengenai penangkapan seorang alim yang dikenali dengan nama Wak Sulaiman oleh sekumpulan komunis.

"Adalah menjadi tanggungjawab arwah ayah untuk membantu anak buahnya, lantas dia yang berselempang kain merah segera bergegas ke kawasan hutan di pinggir kampung, kawasan yang menjadi persembunyian komunis itu dengan ditemani oleh Hassan.

"Sehingga lewat tengah malam ayah, Hassan dan Wak Sulaiman masih tidak pulang dan selepas beberapa minggu, langsung tiada berita mengenai mereka bertiga, sama ada hidup atau mati.

"Pada malam yang sama terdapat seorang Cina bersenjata mundar-mandir di kawasan rumah kami, seperti tidak membenarkan kami keluar mendapatkan bantuan.

"Keadaan itu berlarutan sehingga beberapa minggu menyebabkan kami sekeluarga menjelang malam terpaksa menyorok di kawasan pokok buluh berhampiran bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beberapa minggu selepas itu apabila keadaan telah menjadi aman, penduduk kampung mula berani keluar rumah untuk mengerjakan kebun masing-masing dan ketika itulah mayat Moain dan Hassan ditemui di bahagian hutan.

Sementara itu, Amat Juhari berkata, pada akhir Mei tahun sama, sebelum kejadian itu berlaku, sekumpulan kira-kira 20 komunis yang lengkap bersenjata mengunjungi bapanya di rumah bagi mempelawa dan meyakinkan arwah supaya menyertai kumpulan haram mereka, tetapi telah ditolak.

Tambah beliau, kekejaman komunis tidak hanya terhenti di situ malah ramai lagi penduduk kampung yang berpengaruh seperti penghulu, orang alim dan pendekar dibunuh kerana enggan memberikan sokongan dan kerjasama kepada mereka.

"Saya masih ingat lagi kejadian di Kampung Sungai Tongkang berhampiran kampung kami apabila komunis menyerang rumah penghulu, mereka tembak bertubi-tubi sebelum dibakar menyebabkan kira-kira 30 orang yang berlindung di rumah berkenaan mati," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, arwah bapanya sebenarnya telah menghidu lebih awal kegiatan komunis di negara ini apabila mendapat maklumat melalui pembacaan dalam Utusan Melayu dan Utusan Zaman yang dilanggan terus daripada Singapura pada masa itu.

sumber : Utusan Malaysia

4 comments:

NorFa NFMD said...

menarik...:)
suke post ni...
not only bout football ye...hehe..

Pokjak a.k.a. Aizat said...

Syukur Alhamdulillah komunis telah dikalahkan.
Waspada lah rakyat Malaysia agar kita tidak dijajah lagi...

SangKunang said...

norfa90, thanks.. offside sangkunang tidak memfokus kpd perkembangan bolasepak tanah air saja, tapi turut mengikuti perkembangan politik bumi malaysia yg tiada kesudahan ini..

pokjak, alhamdulillah komunis telah dikalahkan tapi kita jangan leka dan lalai tentang ancaman saki baki golongan ini yg masih berhasrat utk menimbulkan suasana tidak senang dan memecah belahkan keharmonian yg telah terbina di malaysia sejak sekian lamanya.

ALLAH, SELAMATKAN MALAYSIA.

aFiQ said...

X dapek la kepala komunis nk balek sni..mayat de pon bumi Malaysia x terima..btul x Sapix?Rashid Maidin pon tanam overseas..per cer plak Chin Peng nk balek kn..