Thursday 17 September 2009

Mokhtar Dahari julang nama Malaysia di arena antarabangsa

MUNGKIN kini nama Malaysia tidak lagi gah di arena bola sepak antarabangsa jika hendak dibandingkan pada era 70-an dahulu. Malaysia pernah dilabelkan sebagai pasukan Asia yang handal dan sentiasa memberikan saingan dalam setiap perlawanan.

Kebanyakan generasi muda sekarang tidak berpeluang menyaksikan aksi 'SuperMokh' di atas padang. Datuk Mokhtar Dahari atau 'SuperMokh' adalah lagenda pemain bola sepak kebangsaan Malaysia yang berasal dari Selangor.

Datuk Mokhtar Dahari.

Gelaran 'SuperMokh' yang diterimanya itu juga adalah kerana kehebatannya menjaringkan banyak gol sepanjang kariernya sebagai pemain bola sepak. Beliau juga telah mewakili Malaysia selama 13 tahun iaitu dari 1972 hingga 1985.

Mokhtar telah dilahirkan pada 13 November 1953 di Setapak, Kuala Lumpur, hasil perkahwinan Dahari Abeng dan Maimon Sadikin. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Jalan Kuantan (1960-1965) dan Victoria Institution (1966-1970).

Ketika beliau berusia 15 tahun, Mokhtar telah dihadiahkan sepasang but bola yang hanya berharga RM15 oleh ayahnya selepas menduduki Sijil Rendah Pelajaran (SRP) 1968 atau lebih tepat dipanggil LCE pada ketika itu.

Beliau amat menghargai pemberian itu sambil berkata: "Kasut but yang diberi oleh ayah saya hanya berharga RM15, tetapi ia amat bermakna dalam kerjaya bola sepak saya."

Dengan kasut itulah beliau menempa nama sebaris dengan wira-wira bola sepak negara sebelumnya seperti Datuk Ghani Minhat dan Arthur Koh.

Pada tahun 1971, Mokhtar telah mula mewakili pasukan Selangor dalam saingan Piala Burnley. Beliau juga pernah menyertai beberapa kelab bola sepak antaranya Kelab Sultan Sulaiman, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Talasco dan Kwong Yik Bank.

Beliau telah berkahwin dengan Tengku Zarina Tengku Ibrahim dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Mohamad Redza, Nur Azera dan Nur Arina. Salah seorang anaknya, Mohamad Redza, juga mengikuti jejak langkah ayahnya apabila pernah mewakili negeri Selangor.

Mokhtar merupakan pemain yang memiliki bakat semulajadi yang mengangkat imej Malaysia setaraf dengan jaguh bola sepak dunia. Paling ketara adalah dikancah Pestabola Merdeka yang menjadi gelanggang beliau mempamer taring dan kehebatannya menembusi gawang lawan.

Pada usia 23 tahun, Mokhtar yang lebih terkenal dengan jolokan 'SuperMokh' diiktiraf Majalah World Star Soccer sebagai penyerang terbaik Asia dan ketika itu jugalah dia dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 1976.

Kelebihan dimiliki 'SuperMokh' banyak dengan sepakan deras bak peluru menjadi elemen penting hinggakan tiga jari bekas penjaga gol negara, mendiang R. Arumugam, pernah patah ketika cuba menampannya. Malah penyerang ternama negara ini juga bijak dalam membaca gerakan lawan dan meloloskan diri dari kawalan pertahanan pihak lawan.

Mokhtar telah membuat penampilan di padang bola sebanyak 167 kaps (penampilan), menjaringkan 117 gol dalam saingan Piala Malaysia dan 125 gol antarabangsa.

Mokhtar Dahari menjulang Piala Malaysia pada tahun 1979 setelah berjaya menewaskan Singapura.

Mokhtar merupakan seorang pemain yang sangat gigih ketika latihan, sejak di bangku sekolah lagi dia tidak pernah jemu berlatih sehingga sudah sebati dengan dirinya.

Ketika berada dalam skuad kebangsaan, Mokhtar masih gigih berlatih apabila gemar mengawal bola sambil mengelecek tiang-tiang kecil sebelum melepaskan tendangan kencang ke gawang yang kosong untuk menajamkan kuasa pemusnah yang ada pada dirinya.

Malah beliau juga tidak suka diganggu ketika latihan apatah lagi mengaitkan kemasyuran dirinya di padang dengan kehidupan peribadi hingga menjadikan beliau seorang idola paling diminati.

Perjalanan karier 'SuperMokh'

Karier Mokhtar sebagai pemain bola sepak bermula pada 1970 di mana ketika itu beliau telah terpilih untuk mewakili Selangor ke pertandingan bola sepak bawah 18 tahun Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM). Turut bermain bersamanya ketika itu adalah Santokh Singh dan Reduan Abdullah.

Mokhtar yang juga dikenali dengan gelaran 'SuperMokh' merupakan penyerang yang amat berbahaya apabila melepaskan rembatan.

Pada tahun 1971, Mokhtar telah mewakili Selangor dalam pertandingan Piala Burnley (sekarang Piala Razak) di Kuching Sarawak. Perlawanan pertama menentang Kedah dan beliau berjaya menjaringkan gol pertamanya pada perlawanan itu.

Pada tahun 1972, buat pertama kalinya beliau beraksi untuk pasukan utama Selangor dalam perlawanan persahabatan menentang kelab Hitachi dari Jepun pada Februari. Pada bulan April beliau turun dalam perlawanan akhir Piala Malaysia pertama dalam kariernya menentang Perak dan bermain di posisi sayap kiri.

Beliau menjaringkan gol pada minit ke-29 hasil umpanan Rahim Abdullah untuk membantu Selangor menang 3-0. Dalam tahun yang sama, beliau telah mewakili Malaysia buat pertama kalinya dalam Piala Jakartaraya (Piala Kemerdekaan Jakarta) pada bulan Jun.

Mokhtar juga telah bermain bersama skuad Malaysia di pra Piala Dunia di Seoul pada tahun 1973. Beliau juga telah bermain dalam perlawanan akhir Pestabola Merdeka menentang Kuwait dan menjaringkan dua gol dalam kemenangan 3-1. Mokhtar juga telah membantu Selangor mengekalkan Piala Malaysia dengan menewaskan Terengganu 2-1 dalam perlawanan akhir.

Pada tahun 1974, Mokhtar telah mencipta rekod peribadinya sebagai penjaring gol terbanyak dalam satu perlawanan antarabangsa apabila menjaringkan lima gol sekaligus ketika menentang Filipina di Sukan Asia di Tehran, Iran sekaligus membantu negara memenangi pingat gangsa.

Karier Mokhtar memuncak pada tahun 1975 apabila beliau mewakili pasukan Malaysia menentang pasukan gergasi England, Arsenal F.C. Dalam perlawanan tersebut Malaysia telah menewaskan Arsenal 2-0 di mana kedua-dua gol tersebut dijaringkan oleh Mokhtar. Selepas perlawanan itu, Mokhtar khabarkannya telah menerima tawaran dari pasukan Arsenal untuk bermain dengan mereka.

Mokhtar terus mempamerkan kehebatannya apabila menjaringkan dua gol untuk membantu Selangor menewaskan Singapura 3-0 dan sekali gus muncul sebagai juara Piala Malaysia bagi kali ke-19. Malah beliau telah mendapat kaps Malaysia ke-100 ketika menentang Jepun di Pestabola Merdeka. Mokhtar juga telah mendapat kecederaan lutut ketika mewakili PKNS menentang Pemuda Umno di peringkat suku akhir Piala FAM. Beliau terpaksa menjalani pembedahan lutut di Hospital Universiti.

Pada tahun 1977, setelah pulih daripada kecederaan lutut beliau kembali beraksi mewakili PKNS menentang Kilat dalam Liga Perdana Selangor. Beliau juga membantu Selangor mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

Lebih membanggakan, beliau telah menjaringkan satu gol ketika Malaysia menewaskan Thailand 2-0 pada perlawanan akhir untuk pingat emas Sukan Sea pertama beliau. Mokhtar telah menerima Anugerah Olahragawan Kebangsaan 1976 di atas kejayaannya itu.

Bagaimanapun, aksi 'SuperMokh' yang tidak dapat dilupakan oleh para peminatnya ialah apabila beliau berjaya menjaringkan gol penyamaan ketika menentang England B yang pada ketika itu di bawah bimbingan Bobby Robson pada tahun 1978. Perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan 1-1.

Jersi asal pemain lagenda, Mokhtar Dahari (10) dipamerkan di Riveira Sports Bar. - foto THE STAR oleh MOHD SAHAR MISNI

Pada tahun yang sama juga, beliau telah memenangi Piala FAM pertamanya bersama PKNS malah turut membantu Selangor bangkit dari ketinggalan 2-0 kepada Singapura untuk menang 4-2 dalam perlawanan akhir Piala Malaysia.

Pada tahun 1979, Mokhtar buat pertama kalinya mengetuai barisan Selangor selepas mengambil alih jawatan ketua pasukan daripada Soh Chin Aun lalu mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia selepas menang 2-0 ke atas Singapura. Buat pertama kali juga, rentangan sepanduk tertulis 'Super Mokhtar' gelaran yang kekal hingga kini, terpampang di Stadium Merdeka. Bagaimanapun, Mokhtar telah membuat kejutan apabila mengumumkan persaraannya dalam arena bola sepak antarabangsa pada tahun yang sama.

Tetapi, pada tahun berikutnya Mokhtar menarik balik keputusan persaraan antarabangsa untuk beraksi di Pestabola Merdeka di mana Malaysia muncul naib johan selepas tewas kepada Maghribi dalam perlawanan akhir.

Pada tahun 1981, Mokhtar telah menerima kad merah pertama dan terakhir dalam kariernya ketika menentang Singapura dalam perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia. Kad merah tersebut dilayangkan oleh pengadil Othman Omar. Kegagalan Malaysia di pertandingan pra Piala Dunia di Kuwait mendorong Mokhtar mengumumkan persaraannya pada peringkat antarabangsa buat kali kedua.

Mokhtar telah mengetuai pilihan Selangor menentang Boca Juniors yang diketuai oleh Diego Maradona dalam satu perlawanan persahabatan pada tahun 1982. Selangor tewas 2-1.

Pada tahun 1985, Mokhtar kembali menyarung jersi negara ke pertandingan pra Piala Dunia di Seoul menentang Korea Selatan di mana Malaysia tewas 2-0 dan beliau mengumumkan persaraannya di peringkat antarabangsa untuk kali ketiga dan terakhir.

Timbalan Menteri Kebudayaan Bulgaria, Ivan Tokadjien teruja melihat lukisan wajah lagenda pemain bola sepak Malaysia, Mokhtar Dahari, ketika melawat ke Galeri Seni Negara, Kuala Lumpur. - foto BERNAMA

Pun begitu, beliau masih meneruskan kariernya dalam pertandingan domestik. Ketika bermain bersama Selangor pada tahun 1986, beliau telah membantu Selangor menjadi juara Piala Malaysia menewaskan Johor 6-1 pada perlawanan akhir. Beliau juga telah diumumkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir tersebut. Mokhtar akhirnya mengumumkan persaraannya dari bola sepak peringkat negeri dan menghadiahkan jersi nombor 10 miliknya kepada Raja Muda Selangor.

Tetapi, seperti masa-masa yang lalu dan atas desakan peminat, Mokhtar menarik balik persaraannya untuk mewakili Selangor semusim lagi. Pada tahun 1988, Mokhtar telah bersara dari bola sepak peringkat negeri dan menyertai Kwong Yik bank, kehadirannya membawa kelab itu menjadi juara Liga Dunhill Selangor.

Mokhtar disahkan menghidap penyakit Mascular Dystrophy pada tahun 1989 dan berlepas ke London untuk mendapat rawatan lanjut, namun pulang ke Malaysia tanpa sebarang perubahan.

Pada hari Khamis, 11 Julai 1991, Mokhtar Dahari telah meninggal dunia pada jam 8.25 pagi di Pusat Perubatan Subang Jaya, akibat penyakit yang dihidapinya itu.

dipetik dari http://mstar.com.my/

No comments: